Pendidikan merupakan satu wadah utama untuk pembangunan sesebuah negara. Pendidikan yang baik ialah pendidikan untuk semua dan merangkumi segala aspek yang diperlukan oleh setiap murid mengikut perbezaan murid. Ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu “Pendidikan adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. Oleh itu, pendidikan yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai juga perlu disediakan.
Di Malaysia, pendidikan khas telah mendapat perhatian semua pihak apabila Akta Pendidikan 1996 menyatakan, program pendidikan khas di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan layak diikuti oleh murid dengan keperluan khas yang boleh dididik, iaitu;
“Jika dia mampu menguruskan diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain dan disahkan oleh suatu panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai daripada Kementerian Pendidikan dan pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebagai berupaya mengikut program pendidikan kebangsaan.”
Sehubungan dengan itu, pendidikan khas di Malaysia pada masa kini adalah di bawah tanggungjawab empat kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang cacat fizikal, terencat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastik atau terencat. Manakala Kementerian Kesihatan pula bertanggungjawab menyaring dan mengenalpasti kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan berisiko. (Jamila K.A Mohamed, 2006)
Jamila K.A Mohamed (2006) menyatakan bahawa pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pendidikan murid dengan keperluan khas. Pendidikan ini dirancang secara teratur serta dinilai keberkesanannya secara teliti bagi membantu murid dengan keperluan khas mencapai tahap berdikari tinggi dan kejayaan hidup yang memuaskan.
Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (1997), program pendidikan khas bererti suatu program yang disediakan di sekolah khas bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan ataupun kecacatan pendengaran. Selain itu, program pendidikan khas juga diertikan sebagai suatu program percantuman di sekolah biasa bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan ataupun kecacatan pendengaran atau mempunyai masalah pembelajaran dan program pendidikan inklusif bagi murid-murid dengan keperluan khas yang dapat menghadiri di dalam kelas biasa bersama-sama dengan murid-murid biasa. (Jamila K.A Mohamed, 2006).
Program Pendidikan Khas di Malaysia terdiri daripada tiga kategori yang utama iaitu Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran, Program Pendidikan Khas Bermasalah Penglihatan dan Program Pendidikan Khas Integrasi. Ketiga- tiga program ini disediakan dari peringkat prasekolah sehinggalah sekolah menengah. Disamping itu, pendidikan teknik dan vokasional juga disediakan untuk ketiga-tiga kategori ini, khususnya bagi masalah pendengaran. Malah pelajar masalah pendengaran yang berkelayakan dapat meneruskan pengajian mereka di politeknik yang menjalankan program pendidikan secara inklusif.
Secara umumnya, masyarakat melabelkan orang yang memerlukan keperluan khas sebagai orang cacat,kurang upaya dan ketidaksempurnaan. Menurut Noriati A.Rashid et al. (2011), kumpulan berkeperluan khas merujuk kepada kanak-kanak istimewa (luar biasa atau tercabar dari segi intelek, jasmani, sosial atau emosi). Kumpulan ini dianggap sebagai istimewa kerana ibu bapa dan guru menumpukan perhatian yang lebih berbanding murid-murid normal. Antaranya murid yang menghadapi penyakit autisme, sindrom down, masalah pembelajaran disleksia, lewat perkembangan cerebral palsy, kecacatan pendengaran dan penglihatan, pintar cerdas, kecelaruan tingkah laku dan lain-lain lagi. Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (1997), murid-murid dengan keperluan khas bermaksud murid-murid yang mempunyai kecacatan samaada penglihatan, pendengaran ataupun masalah pembelajaran. (Jamila K.A Mohamed, 2006)
2.0 PERKEMBANGAN
2.1 PERANAN GURU PENDIDIKAN KHAS
Mengikut Kamus Dewan (Edisi Ke-4), guru adalah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan juga pengasuh. Oleh sebab itu, peranan dan tanggungjawab seorang guru sangat memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap murid. Menurut Tokoh Guru Peringkat Negeri Kedah, Abdul Rahim Mohd Said (Utusan Online, 2008), beliau menyatakan bahawa setiap guru perlu memberi keutamaan kepada pelajar dan ibu bapa mereka sera tahu apa keperluan pelajar bagi menjadi seorang guru yang baik. Ia sejajar dengan Falsafah Pendidikan Guru iaitu “ Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.”
Profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan banyak hadis Rasulullah S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi menjadi guru pendidikan khas yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
Peranan guru sangat besar apabila mereka dianggap sebagai pengajar kerana tugas utama guru di dalam bilik darjah adalah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran serta mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang bermoral tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah merancangkan aktiviti pengajaran yang sesuai, alat bantu mengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, melaksanakan rancangan mengajar yang telah disediakan dan membuat penilaian atas segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Melalui maklum balas yang diperoleh daripada penilaian, guru dapat menambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran yang baharu mengikut masalah perlu diwujudkan apabila penambahbaikkan diperlukan. Oleh sebab itu, guru haruslah menggunakan pendekatan yang kreatif dan kritis untuk menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), menyatakan bahawa mendidik pelajar kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran kerana setiap pelajar pendidikan khas di dalam sesebuah kelas memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.
Guru juga dianggap sebagai pengurus apabila mereka diperlukan untuk mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid supaya menjalankan tugas seperti menjaga kebersihan kelas, menjaga disiplin pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas yang mantap dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru pendidikan khas juga bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid mereka. Rekod peribadi mereka sangatlah penting kepada individu lain untuk mendapatkan maklumat dan sebaginya. Guru juga perlulah sentiasa mengemaskini rekod peribadi murid-murid ini supaya perkembangan terbaru mereka dapat diperbaharui.
Kaunselor juga seringkali dikaitkan dengan guru pendidikan khas. ia berlaku apabila mereka seringkali mempunyai anggapan positif terhadap pelajar mereka. Mereka tidak pernah menganggap pelajar mereka mempunyai masalah yang tidak boleh diselesaikan. Justeru itu, mereka sentiasa menerima pelajar mereka tanpa syarat. Guru Pendidikan Khas juga dianggap kaunselor apabila murid-murid mengalami masalah sosioemosi seperti rasa takut, kecewa, bosan dan sebagainya serta masalah pembelajaran hendaklah dibimbing supaya murid dapat membina keyakinan diri. Sebagai contoh Cikgu Alizah Abdul Malek, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong telah mengatakan bahawa beliau bukan sahaja mengajar di sekolah malah pernah diminta oleh ibu bapa pelajar supaya menelefon dan mengejutkan anak mereka yang enggan ke sekolah (Utusan Online, 2011). Ini membuktikan bahawa peranan guru pendidikan khas sebagai kaunselor yang sentiasa menyelesaikan masalah murid walaupun masalah berlaku di luar sekolah. Lain pula dengan Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota apabila terdapat pelajar istimewa yang dirasakan berpotensi, dia akan membawa mereka pulang ke rumah selepas sekolah dan mengajar cara-cara pengurusan diri. (Kosmo, 2008).
2.2 CIRI-CIRI GURU PENDIDIKAN KHAS
Guru adalah orang yang penting dalam riwayat hidup setiap individu sehinggakan ada pendapat yang mengatakan, “Saya suka subjek itu kerana saya sukakan cara guru itu mengajarnya”. Apabila kanak-kanak itu mula bersekolah sehinggalah mereka meningkat dewasa, mereka sentiasa berhadapan dengan guru serta interaksi juga sering berlaku. Guru mengajar, membimbing, menegur, memuji, memujuk dan memarahi pelajar-pelajarnya adalah situasi yang sentiasa berlaku semasa pengajaran dijalankan. Dalam situasi ini terdapat pelbagai kualiti yang berbeza. Mengikut Atan Long (1992) dalam buku Mengurus Tingkah Laku Pelajar , terdapat beberapa ciri menjadi guru yang baik iaitu emosi dan mental yang stabil dan sihat, dipercayai, sering memberi kerjasama, kesihatan yang baik, kecerdasan otak dan tingkahlaku yang sopan dan menyenangkan. Kesantunan dan kepedulian adalah ciri-ciri guru yang baik malah ia adalah perkara-perkara yang terkandung di bawah etika guru. Mengikut Kamus Dewan Edisi Ke-4, etika ialah prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Oleh sebab itu, dapat disimpulkan bahawa etika guru ialah prinsip moral atau akhlak yang menjadi pegangan seorang guru